Mungkin ada yang tertanya-tanya di mana PTD sektor luar negeri akan bertugas. Lebih khususnya lagi  PTD yang bertugas dengan Kementerian Luar Negeri.

Bagi anda yang ingin mengetahui perkara ini, terdapat 104 tempat di seluruh dunia di mana PTD bertugas. Antaranya di Algiers (Algeria), Buenos Aires (Argentina), Perth dan Canberra (Australia), Havana (Cuba), Budapest (Hungary), Pristina (Kosovo), Muscat (Oman) dan banyak lagi. Untuk maklumat lanjut, anda boleh rujuk di laman web ini.

Dengan begitu banyak tempat bertugas, pastinya anda akan mengalami pelbagai pengalaman baru dan menarik. Mungkin anda boleh membukukan pengalaman anda pula selepas ini.

Musim bunga

Musim bunga

Musim panas

Musim panas

Musim sejuk

Musim sejuk

Musim Luruh

Musim Luruh

Sepanjang bertugas sebagai PTD, sesekali anda akan dijemput menjadi Liason Officer atau singkatannya ialah LO. Tentu sekali ada yang bertanya apa itu Liason Officer? Liason Officer dalam konteks ini sebenarnya bertugas sebagai pegawai pengiring / perhubungan kepada wakil-wakil negara yang datang menghadiri sesuatu program seperti persidangan, mesyuarat dan perbincangan.

Sebagai LO, anda bertanggungjawab menguruskan kelancaran perjalanan wakil negara dari tarikh beliau sampai hingga beliau berlepas pulang ke negara masing-masing. Sebagai contoh, anda perlu menguruskan jadual wakil negara, memastikan kebajikan wakil negara dan mengiringi wakil negara berkenaan. Yang menariknya ialah anda akan dibantu dengan polis, para pegawai Wisma Putra dan diberi kemudahan penginapan, pakaian, kad telefon dan sebagainya. Ketika inilah anda berpeluang mengenali wakil-wakil negara sambil diiringi dengan polis outrider (jadi tiada isu kesesakan jalan raya akan berlaku).

Ketika ini kemahiran berbahasa dan kemahiran pengurusan amat diperlukan bagi memastikan kejayaan program. Banyak lagi perkara yang anda alami jika terpilih menjadi LO ini. Yang pasti, pengalaman tersebut pasti tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Buah bidara

Buah bidara

Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih hamba lurutkan,

Buang emak buang saudara,

Kerana kasih hamba turutkan.

Begitu indah bait-bait pantun ini dikarang. Di rangkap pertama pantun ini, buah bidara (seperti di gambar) dipilih menjadi salah unsur pembayang . Rupanya banyak khasiat buah bidara ini. Antara lainnya ialah boleh dijadikan minuman, manisan, ubat sakit perut dan sebagainya.

Salah satu tempat bersempena buah ini pula ialah Tanjung Bidara, Melaka. Sebuah kawasan berdekatan pantai, memiliki chalet-chalet yang boleh disewa. Sesuai untuk bercuti atau mengadakan aktiviti perkhemahan. Kampung-kampung di sekitarnya pula bersih dan ceria. Memang boleh dipuji orang Melaka di sini.

Bercerita tentang Tanjung Bidara, baru-baru ini penulis berkesempatan mengunjunginya. Yakni selepas mengadakan sesi ceramah kepada para peserta induksi umum Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. Ceramah ini bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta tentang etika dan tatakelakuan penjawat awam. Kursus ini juga salah satu syarat untuk pengesahan jawatan mereka dalam perkhidmatan awam. Respons mereka sepanjang 2 jam ceramah amat menggalakkan. Semoga apa yang diterangkan akan tersemat di minda masing-masing.

Bagi anda yang berminat dengan bidang pengurusan dan kepimpinan, berikut adalah buku-buku terkini yang disyorkan untuk bacaan anda.

1. 5 Minds For The Future – Pengarang : Howard Gardner5 Minds For The Future 2

2. A Sense Of Urgency       – Pengarang : John P. Kotter

3. Lead By Example           – Pengarang : John Baldoni

4. What Were They Thinking – Pengarang : Jefrey Pfeffer

5. The Source of Leadership     – Pengarang : David M. Traversi

Untuk semakan kandungan, anda boleh layari klik pada tajuk-tajuk buku di atas. Selamat membaca.

p.s. Saya sedang membaca buku 5 Minds For The Future. Intipati utamanya ialah pengkelasan lima jenis minda manusia sebagai alat untuk memimpin. Jenis-jenis pemikiran yang dimaksudkan ialah minda berdisiplin, minda bersintesis, minda mencipta, minda beretika dan minda menghormati.

Rasanya ramai sudah mengetahui tentang PTD. Namun seperti penjawat-penjawat awam yang lain, PTD juga perlu melalui Peperiksaan Tahap Kecekapan atau PTK. Jika dilihat akan sukatan peperiksaan dan bahan rujukannya, rasanya mahu menepuk dahi juga dibuatnya.

Bukan senang hendak menjadi senang, kata orang. Tetapi bagi anda yang berminat dengan kerjaya ini, ada baiknya mengetahui sukatan peperiksaan dan bahan rujukan dari awal. Mudah-mudahan dapatlah anda membuat persediaan. Sukatan peperiksaan PTK bagi PTD adalah seperti berikut:

1. PTD Gred M41. Untuk Tahap 1, sila klik di sini. Untuk Tahap 2, sila klik di sini.

2. PTD Gred M44. Sila klik di sini.

3. PTD Gred M48. Sila klik di sini.

4. PTD Gred M52. Sila klik di sini.

5. PTD Gred M54. Sila klik di sini.

Sumber: Laman web www.kompetensi.jpa.gov.my

Jika perasan, semasa kita belajar di sekolah mahupun di universiti, kita tidak didedahkan cara bekerja sebenar di pejabat. Sebagai contoh, walaupun dulu penulis mengambil kursus undang-undang, namun semasa bertugas, undang-undang yang terpakai di pejabat tidak dipelajari semasa universiti. Untuk itu, penulis terpaksa membaca dan bertanya kepada pegawai kanan di pejabat.

Namun kini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh agensi kerajaan untuk mendedahkan cara bekerja di pejabat. Penulis percaya dengan adanya panduan ini, maka proses peralihan dari alam belajar ke alam pekerjaan akan lebih mudah. Ia memuatkan pelbagai topik menarik seperti berikut:

* pengurusan am pejabat

* pentadbiran sumber manusia

* keperibadian dan ketrampilan

* pengurusan perhubungan dengan pelanggan

* sistem penyampaian perkhidmatan

* urusan surat-menyurat

* pengurusan fail

* penyelenggaran, pemuliharaan dan pelupusan rekod

* pengurusan komunikasi dan teknologi maklumat

* inventori dan bekalan pejabat

Jadi bagi yang berminat mendapatkan maklumat ini boleh klik di sini.

Bagi yang berkesempatan hujung minggu ini, penulis akan berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009, PWTC sepanjang hari Sabtu ini bersamaan 25 April 2009. Terdapat pelbagai judul buku yang menarik sedang dipamerkan di sana. Jom kita ke sana.

bannerpestabuku

p.s. Bagi yang ingin bertemu secara langsung dengan penulis, lawatilah ‘booth’ PTS Sdn. Bhd. di sana dari jam 2 petang hingga 4 petang.

Pastinya ramai yang bergembira dalam beberapa minggu ini. Bagi yang berjaya dalam temuduga pada bulan Februari 2009 yang lalu, penulis ucapkan setinggi tahniah dan selamat datang ke perkhidmatan yang anda idam-idamkan selama ini. Bukan mudah pencapaian anda, lagi-lagi dalam keadaan tawaran pekerjaan negara sekarang. Lebih ramai yang memohon jawatan yang anda perolehi itu. Harapnya anda mampu menjangkaui harapan dan impian ’stakeholders’ anda nanti.

Bagi penulis pula, tiada yang lebih gembira apabila mendapat penghargaan daripada anda yang pernah membaca dan memiliki buku Kerjaya Sebagai PTD. Lebih-lebih lagi jika ia datang daripada calon-calon yang berjaya dilantik.

Selain itu, ada yang bertanya mengapa lama blog ini tidak dikemas kini.

Teragak-agak juga hendak memberitahu sebabnya. Sebenarnya sepanjang tempoh tersebut, penulis sibuk dengan kelahiran anak sulung pada 4 Mac 2009 yang lalu. Seberat 3.05 kg, tepat jam 12.59 tengahari, Ainul Mardhiah (gambar) telah selamat dilahirkan. Menariknya Ainul juga merupakan cucu sulung dan cicit sulung bagi keluarga sebelah isteri. Jadi agak riuh rendahlah sedikit suasana di rumah.

Ainul Mardhiah binti Salehuddin

Ainul Mardhiah tengah menguap

Sehingga kini rasa gementar, sebak dan terharu masih teringat-ingat semasa isteri keluar dari bilik bersalin. Baru penulis tahu bagaimana perasaan menjadi bapa. Terketar-ketar suara semasa mengazan dan mengiqamatkan di kedua belah telinga Ainul. Berakhirlah sudah penantian selama sembilan bulan.

Pada hari ke-10 pula, majlis aqiqah dan bercukur diadakan. Kesian juga tengok dicukur. Sebelum itu adalah juga saat-saat gementar apabila dikatakan bayi ini mengidap demam kuning. Puaslah tiga kali diambil darah. Tapi akhirnya doktor mengesahkan tiada demam kuning.

Tepat 19 hari kemudian, berita gembira seterusnya diterima. Rezeki anak orang kata. Panggilan ke majlis bertemu Ketua Perkhidmatan rupanya membawa kepada penyerahan watikah pemangkuan ke gred yang lebih tinggi. Alhamdulillah..Harapnya selepas ini akan bertambah lagilah rezeki.

Sekian. Jumpa lagi.

Barangkali sebahagian daripada calon temuduga telah selesai menghadiri temuduga ketika ini. Mungkin ada yang gembira dengan prestasi temuduganya dan mungkin ada yang tidak.

Persoalannya sekarang apa yang dapat kita pelajari daripada temuduga berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman lalu, berikut adalah antara situasi-situasi yang berlaku ketika temuduga:

1. Tidak hadir temuduga. Alasan pelbagai.

2. ‘Blank’.

3. Tidak boleh mengupas isu-isu semasa.

4. Lupa subjek yang dipelajari semasa universiti.

5. Tidak petah bercakap.

6. Tiada keyakinan berhadapan dengan panel temuduga.

7. Tidak tahu tugas PTD walaupun sedang berkhidmat.

8. Tidak tahu organisasi kerajaan.

9. Tidak tahu bagaimana pentadbiran awam berfungsi.

10. Tidak membuat persediaan (diri, dokumen, pakaian dan pengetahuan) yang cukup.

11. Tidak mahir berbahasa Inggeris.

Dan mungkin terdapat situasi lain yang tidak dinyatakan di sini.

Jadi harap-harap selepas ini, prestasi para calon akan lebih baik. Muhasabah pemangkin kejayaan.

p.s. Muhasabah = merenung kembali

Sabtu lepas (21.2.2009) telah berlalu peperiksaan khas memasuki PTD.

Penulis percaya ramai calon yang terkejut dengan betapa pantasnya masa berlalu. Dengan lima kertas untuk dihabiskan dalam masa sehari, tentu ramai yang belum pernah mengalaminya.

Biarlah pengalaman yang anda lalui menjadi kenangan manis di kemudian hari.

Esok, maka bermulalah sesi temuduga bagi calon-calon yang berjaya dalam PAC. Mungkin ada yang tidak dapat tidur malam ini. Mungkin ada yang gemuruh, tidak sabar dan pelbagai perasaan melanda.

Bagi anda yang akan menghadiri temuduga, usah risau, usah gentar. Seharusnya anda berbangga kerana berjaya hingga ke tahap ini. Pasti ada sesuatu yang istimewa dalam diri anda yang dilihat oleh para penilai PAC.

Cuma esok, anda harus menunjukkan sekali lagi bahawa anda layak menjawat jawatan PTD di hadapan panel penemuduga.

Bertenanglah.

Laman Berikutnya »