Salam hormat,

Semasa perjalanan pulang ke rumah petang tadi, penulis dikejutkan dengan panggilan telefon kakak penulis. “Harga minyak naik! Cepat isi minyak kereta sebelum pukul 12 tengah malam.” katanya. “Dengar dari mana?” tanya penulis. “Berita tv dan radio.” jawab beliau. Emm hairan juga. Kenapa begitu cepat pengumuman harga minyak naik. Sementelahan itu dapatlah penulis melihat deretan panjang kenderaan berbaris untuk mendapatkan minyak di jalan bersebelahan rumah penulis. Yang pasti di mana ada stesen minyak, di situlah kesesakan jalan berlaku. Tidak terkecuali dengan penulis.

Berbalik kepada persoalan kerjaya PTD dengan kenaikan harga minyak. Ramalan penulis? Lebih ramai para graduan ingin menjadi PTD. Sebabnya: gaji tinggi, prospek kerjaya, kestabilan kerjaya dan tidak memerlukan kelayakan bidang yang tertentu. Kalau orang tua-tua dahulu cakap, keje gomen ni terjamin. Ini dapat dibuktikan dengan krisis ekonomi negara sebelum ini. Ramai graduan yang memilih kerjaya dengan perkhidmatan awam. Tidak dapat dinafikan dengan keadaan ekonomi negara, pelbagai langkah akan dibuat oleh semua pihak untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak. Termasuklah dari segi peluang pekerjaan, gaji dan pengurusan perniagaan.

Apapun pada pandangan penulis kenaikan harga minyak ini ada baiknya. Antaranya ia akan membuatkan kita berjimat cermat dan menggunakan sumber dengan efisien. Natijah di penghujung kisah ini ialah kesenangan jua. Di sebalik kesusahan sebenarnya ada kesenangan. Terpulang kepada kita untuk menilainya. Sekian, jumpa lagi.