Pastinya ramai yang bergembira dalam beberapa minggu ini. Bagi yang berjaya dalam temuduga pada bulan Februari 2009 yang lalu, penulis ucapkan setinggi tahniah dan selamat datang ke perkhidmatan yang anda idam-idamkan selama ini. Bukan mudah pencapaian anda, lagi-lagi dalam keadaan tawaran pekerjaan negara sekarang. Lebih ramai yang memohon jawatan yang anda perolehi itu. Harapnya anda mampu menjangkaui harapan dan impian ’stakeholders’ anda nanti.

Bagi penulis pula, tiada yang lebih gembira apabila mendapat penghargaan daripada anda yang pernah membaca dan memiliki buku Kerjaya Sebagai PTD. Lebih-lebih lagi jika ia datang daripada calon-calon yang berjaya dilantik.

Selain itu, ada yang bertanya mengapa lama blog ini tidak dikemas kini.

Teragak-agak juga hendak memberitahu sebabnya. Sebenarnya sepanjang tempoh tersebut, penulis sibuk dengan kelahiran anak sulung pada 4 Mac 2009 yang lalu. Seberat 3.05 kg, tepat jam 12.59 tengahari, Ainul Mardhiah (gambar) telah selamat dilahirkan. Menariknya Ainul juga merupakan cucu sulung dan cicit sulung bagi keluarga sebelah isteri. Jadi agak riuh rendahlah sedikit suasana di rumah.

Ainul Mardhiah binti Salehuddin

Ainul Mardhiah tengah menguap

Sehingga kini rasa gementar, sebak dan terharu masih teringat-ingat semasa isteri keluar dari bilik bersalin. Baru penulis tahu bagaimana perasaan menjadi bapa. Terketar-ketar suara semasa mengazan dan mengiqamatkan di kedua belah telinga Ainul. Berakhirlah sudah penantian selama sembilan bulan.

Pada hari ke-10 pula, majlis aqiqah dan bercukur diadakan. Kesian juga tengok dicukur. Sebelum itu adalah juga saat-saat gementar apabila dikatakan bayi ini mengidap demam kuning. Puaslah tiga kali diambil darah. Tapi akhirnya doktor mengesahkan tiada demam kuning.

TepatĀ 19 hari kemudian, berita gembira seterusnya diterima. Rezeki anak orang kata. Panggilan ke majlis bertemu Ketua Perkhidmatan rupanya membawa kepada penyerahan watikah pemangkuan ke gred yang lebih tinggi. Alhamdulillah..Harapnya selepas ini akan bertambah lagilah rezeki.

Sekian. Jumpa lagi.