PAC


Buat para pembaca beragama Islam, penulis mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha. Semoga selamat pergi dan tiba ke destinasi masing-masing. Bagi anda yang bakal menghadapi PAC dalam masa terdekat ini, penulis mengucapkan selamat berjaya.

Sebagaimana diketahui oleh kebanyakan calon PAC, program PAC kali ini telah berubah format. Antara yang ketara ialah jumlah hari dari tiga hari kepada sehari sahaja. Jadi sudah tentu ada aktiviti-aktiviti yang dikurangkan. Selain itu masih belum hebahan rasmi mengenai perubahan ini. Justeru bagi para calon sekalian, cabaran baru sedang menanti anda. Anda akan menjadi perintis kepada format baru ini. Harapan penulis semoga anda tabah menghadapinya dan selamat berjaya. Chaiyok!

Seperti calon-calon lain, penulis tidak menyangka akan lulus peperiksaan peringkat pertama. Mungkin boleh menjawab soalan pengetahuan am, tetapi bagi bahagian matematik, penulis kurang yakin. Rasanya sudah bertahun tidak menyentuh soalan matematik. Kali terakhir ialah ketika mengambil subjek faraid di universiti dahulu. Tetapi apabila dah dipanggil untuk PAC, takkan nak tolak. Kebetulan PAC dijalankan tidak jauh dari kediaman keluarga.

Hari yang ditunggu telah tiba. Pada hari pendaftaran, penulis merupakan calon yang ke-30.  Itulah nombor badan sepanjang tiga hari PAC berlangsung. Tidak pernah sekali penulis dipanggil dengan nama, hanya dipanggil dengan nombor tersebut. Selain itu, ketika pendaftaran, penulis juga perlu mengisi beberapa borang maklumat. Walaupun ramai calon yang hadir, proses pendaftaran cukup teratur kerana terdapat beberapa kaunter disediakan. Setiap kaunter mempunyai tugas tersendiri. Ada kaunter yang menyediakan kunci bilik, borang maklumat, tag nombor peserta dan sebagainya.

Selepas mendapat kunci bilik dan rakan sebilik, penulis terus menuju ke bilik. Hendak dijadikan cerita, rakan sebilik penulis juga adalah rakan seuniversiti. Seronok rasanya. Selain itu semasa PAC tersebut, rupanya sepupu penulis turut ada. Yang pasti masing-masing mempunyai keinginan untuk berjaya dalam PAC. Terasa seperti dalam pertandingan pula. Ala-ala Akademi Fantasia gitu.

Petang harinya, program bermula dengan sedikit taklimat pentadbiran oleh urus setia. Diceritakanlah aturcara PAC selama tiga hari berkenaan. Jika tidak silap, penuh dengan aktiviti. Dari pagi hingga ke malam, program telah diatur. Makan, minum dan penginapan diberikan percuma. Wah seronoknya, kata hati.

Apa yang terjadi selepas itu? Tunggu dalam siri berikutnya…

Salam hormat,

Baru-baru ini, berakhirlah sudah PAC yang memberikan pelbagai pengalaman kepada calon, fasilitator, penilai dan penganjur. Yang pasti para calon sudah boleh berasa lega kerana berjaya melalui tapisan tersebut. Bermula dengan taklimat berakhir dengan debat parlimen, anda pasti memerhati dan menilai calon-calon lain. Ada yang blank di pertengahan pengucapan awam, ada yang berapi-api semasa debat ala parlimen dan ada yang lebih selesa mengeluarkan pandangan di dalam kumpulan. Sesetengah calon pula lebih suka mengikut sahaja calon yang dominan dan ada pula yang suka bercakap tetapi tiada isi. Antara cerita menarik pula adalah seperti berikut:

1. Terdapat calon yang sudah berumur dan petah bercakap.

2. Terdapat calon yang sarat mengandung dan menunggu hari bersalin sahaja.

3. Terdapat calon yang mengalami masalah kesihatan.

4. Terdapat calon yang berputus asa di pertengahan aktiviti.

5. Terdapat calon yang tidak menghadirkan diri di permulaan program.

6. Terdapat calon yang telah mempunyai kerjaya yang selesa sebelum ini.

7. Calon-calon yang pandai menggayakan diri.

8. Lebih ramai calon perempuan dari calon lelaki.

9. Calon lelaki yang berperwatakan lembut.

10. Pelbagai tahap penguasaan Bahasa Inggeris para calon.

Dan banyak lagi. Jika dikumpulkan cerita-cerita ini, sudah pasti boleh dibukukan. Apapun tahniah bagi yang berprestasi cemerlang. Bagi yang kurang menyerlah anggaplah ini suatu pengalaman untuk percubaan akan datang. Jumpa lagi.

Salam sejahtera,

Bagi anda yang bakal mengikuti sesi PAC kali ini, pelbagai persoalan pasti timbul. Antaranya apakah contoh soalan PAC. Mengikuti pengalaman, soalan-soalan PAC lebih berbentuk soalan terbuka dan ‘argumentative’. Ia banyak bersifat ingin mencungkil pandangan, ketajaman pemikiran dan keberanian para calon melontarkan pandangan tersebut di khalayak ramai. Mungkin calon yang telah biasa atau berpengalaman berucap di hadapan orang mempunyai sedikit kelebihan. Namun itu bergantung kepada banyak penilaian lain seperti mutu isi yang dikemukakan, cara ia dikupas dan kebijaksanaan calon menarik perhatian hadirin serta para penilai. Tip bagi anda yang masih takut-takut bercakap di hadapan orang ramai, buangkanlah perasaan tersebut ketika program berjalan.

Soalan-soalan PAC secara terperincinya terdiri dari pelbagai bidang. Namun untuk tidak menghampakan anda, entry kali ini akan memberikan anda beberapa soalan. Tetapi harus diingat, soalan-soalan tersebut hanyalah contoh. Antaranya:

1. Kenaikan harga beras ketika ini membebankan rakyat. Nyatakan langkah-langkah meringankan bebanan ini (Ekonomi)

2. Malaysian football substandard is caused by match fixing and bribery. What’s your opinion (Sukan).

3. Pelaksanaan projek-projek bernilai tinggi memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat. Bincangkan.

4. Bincangkan isu penculikan kanak-kanak di Malaysia (sosial)

5. Bincang dan nyatakan tindakan anda dan ahli jawatankuasa bagi menangani peningkatan kes-kes jenayah di kawasan perumahan.

Begitulah serba sedikit catatan yang boleh diberikan. Jadi dengan ini diharapkan anda boleh menyediakan diri dengan sebaik mungkin untuk PAC kali ini. Selamat mencuba.

Buat para calon yang bakal menghadiri PTD Assessment Centre (PAC), ia akan dilaksanakan di kampus-kampus Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) seluruh negara. Secara umumnya kampus-kampus tersebut ialah:

1. INTAN Bukit Kiara (Kampus Utama)

2. INTIM (Kampus Wilayah Timur)

3. INTURA (Kampus Wilayah Utara)

4. IKWAS (Kampus Wilayah Selatan)

5. INTENGAH (Kampus Wilayah Tengah)

6. INTAN Sabah

7. INTAN Sarawak

Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman web ini. Selamat maju jaya!

Salam sejahtera,

Dalam kesibukan melapor diri dan bersedia menghadapi aktiviti-aktiviti PAC, ada satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Pengalaman tersebut ialah pengalaman mengenali latarbelakang calon. Sebenarnya bagi anda yang peramah, anda akan bertemu dan berkenalan dengan pelbagai jenis calon. Antaranya ialah calon yang sedang bertugas di sektor swasta, calon yang telah berumur, calon yang masih muda, calon yang sedang berkhidmat dalam sektor awam, calon usahawan dan macam-macam lagi. Selain itu anda juga pasti bertemu dengan calon dari pelbagai bangsa, agama dan taraf ekonomi keluarga.

Tambahan dari itu anda pasti bertemu dan menilai calon-calon yang belajar di universiti dalam dan luar negara. Bagi pembaca yang bijak, inilah peluang kita meluaskan jaringan hubungan dan menilai kebolehan rakan-rakan calon yang lain. Suatu hari mungkin anda memerlukan mereka. Jadi dalam berusaha menempatkan diri calon yang terbaik, pastikan kita tidak memandang rendah kepada calon yang lain dan berbaik-baiklah dengan mereka. Yang paling baik ialah bersainglah dengan sihat. Anda akan untung pada masa kini dan akan datang.

Sekian, jumpa lagi dalam siri 3.

Salam ceria,

Dalam sehari dua ini, maka akan bermulalah sesi PAC. Ramai yang berdebar dan ternanti-nanti akan sesi tersebut. Almaklumlah, setelah anda lulus peperiksaan memasuki PTD yang sukar, sudah tentu anda ingin mempamerkan persembahan yang terbaik dalam PAC itu nanti. Salah satu soalan yang dikemukakan kepada penulis ialah suasana PAC itu.

Pada hari pertama PAC, suasana yang tidak dapat dilupakan ialah semasa pendaftaran. Dalam kesibukan kita melapor diri, maka bertemulah kita dengan ramai para ibu bapa menghantar calon-calon lain. Mungkin juga kita akan bertemu rakan seuniversiti, rakan satu sekolah rendah atau sekolah menengah, sepupu, rakan tadika, rakan yang popular, rakan yang mempunyai ibu bapa yang terkenal dan sebagainya. Semuanya nampak berkeyakinan dan bersungguh-sungguh. Datang dengan pakaian yang kemas dan cantik sudah pasti. Kadang-kadang rasa kecil pula. Iyalah seolah-olah hendak bertanding dengan orang yang hebat-hebat belaka. Selepas mendapatkan nombor badan dan kunci bilik kediaman, program seterusnya selepas meletakkan beg dalam bilik ialah terus menuju ke dewan atau tempat taklimat. Di situ anda akan bertemu dengan pelbagai jenis orang lagi. Selain rakan-rakan baru, anda juga akan diperkenalkan dengan urus setia dan maklumat perjalanan PAC.

Seterusnya apa yang berlaku? Nantikan pada siri ke 2 kisah PAC…

Salam sejahtera,

Mulai minggu ini hingga ke penghujung bulan Mei 2008, demam PAC akan melanda calon-calon PTD. Ramai yang bertanya dan mencari maklumat mengenai PAC. Malah ada yang bertanya akan soalan-soalan yang bakal diutarakan. Namun begitu sepengetahuan penulis, maklumat sebegini masih dirahsiakan dari pengetahuan umum. Oleh yang demikian, janganlah pula bertanyakan penulis apa soalan-soalan yang akan keluar dan sebagainya. Apa yang boleh diberitahu adalah berikut:

1. Setiap calon akan diberikan satu nombor. Jadi untuk sepanjang sesi PAC, anda akan dikenali dengan nombor tersebut sahaja.

2. Tiada soalan-soalan ramalan.

3. Fasilitator akan bertindak sebagai pemudahcara, bukan pemberi markah.

4. Makanan, minuman dan penginapan disediakan secara percuma.

5. Arahan yang diumumkan hendaklah sentiasa diikuti untuk berjaya dalam PAC.

Begitulah sedikit sebanyak coretan PAC kali ini. Semoga anda berjaya. Bye.

INTAN Wilayah Utara

Salam sejahtera,

Syabas! Selepas lulus peperiksaan PTD, anda akan dipanggil untuk menghadiri PAC. PAC ialah kata singkat bagi PTD Assessment Centre. Kebiasaannya ia berlangsung selama tiga hari di INTAN (Institut Tadbir Negara) seluruh negara. Bagi yang akan menghadirinya, berikut adalah tujuh tip untuk anda:

1. Tahu bila harus bersuara dan bila harus berdiam diri.

2. Bijak berhujah.

3. Berani bercakap di khalayak ramai.

4. Mempunyai stamina berlari.

5. Bijak menjawab soalan.

6. Bijak mengendalikan mesyuarat.

7. Bijak melontarkan pandangan.

Begitulah tujuh tip yang saya percaya mampu membantu anda menghadapi PAC. Harapan saya anda akan berjaya ke peringkat seterusnya.