Tugas


Walau apapun tanggapan umum mengenai PTD, di sebalik keseronokan bertugas, sebenarnya wujud kepayahan dalam kerjaya ini.

Sebagai contoh, bagi PTD yang bertugas di luar negeri, berikut adalah 13  kesusahan yang dialami:

1. Bencana alam dan kesannya di negara bertugas.

2. Pengorbanan dari ahli keluarga dari segi kekurangan kemudahan makanan, minuman, keperluan anak dan sebagainya di negara bertugas.

3. Had lingkungan tempat untuk bergerak bebas.

4. Isu bahasa untuk berkomunikasi.

5. Karenah birokrasi.

6. Tiada peluang bertemu pemimpin sesetengah negara.

7. Ketiadaan sekolah yang sesuai untuk anak-anak.

8. Keperluan berunding dengan kumpulan bersenjata.

9. Risiko terlibat dalam serangan bersenjata terhadap negara bertugas.

10. Kekurangan mendapatkan bekalan perubatan dan makanan akibat sekatan.

11. Berhadapan dengan ramai pejuang agama.

12. Iklim alam yang mencabar dan tidak menentu.

13. Keperluan memiliki ahli keluarga yang memahami keadaan tugasan.

Jadi bagaimana anda? Sanggup menghadapi cabaran tersebut? Jika ya, pohonlah jawatan ini. Peperiksaan untuk memasuki kerjaya ini akan berlangsung tidak lama lagi. Mana tahu, mungkin anda orang yang  diingini oleh perkhidmatan.

Selamat berusaha.

Ribut pasir

Ribut pasir

Perang

Perang

Tsunami

Tsunami

 

 

 

 

petugas

Anda tentu telah mendengar, membaca dan melihat tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Mungkin barangkali ada yang terlibat atau mempunyai sahabat handai, adik-beradik atau jiran yang terlibat secara langsung dengan tragedi tersebut. Dalam kesibukan ramai orang menyuarakan pandangan mereka, salah satu kelompok masyarakat yang sedang mengerahkan tenaga dan masa mereka membantu mangsa-mangsa tragedi. Mereka yang penulis maksudkan ialah para petugas penyelamat dan pembantu mangsa-mangsa tersebut.Ramai daripada mereka bertugas tanpa mengenal penat dan lelah. Selain bekerja keras membantu meringankan kesusahan, mereka juga terdedah dengan pelbagai komen dan aduan daripada pelbagai pihak. Dalam diam, sebenarnya ada di antara mereka ini adalah pegawai daerah, tentera, polis, petugas kesihatan dan sebagainya.

Buat peminat kerjaya PTD, sebenarnya salah satu tempat bertugas PTD ialah di daerah. Secara spesifiknya di Pejabat Daerah. Di sini mereka lebih dikenali dengan gelaran Pegawai Daerah, Ketua Penolong Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah. Justeru apabila berlakunya tragedi seperti tanah runtuh Bukit Antarabangsa, mereka inilah di antara petugas-petugas yang perlu menjalankan tugas bagi membantu para mangsa. Jadi peranan PTD bukan sahaja di peringkat antarabangsa tetapi juga di peringkat tempatan. Selamat bertugas rakan-rakan sekalian.

Salah satu kemahiran yang diperlukan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik ialah kemahiran menulis. Kemahiran ini pada pandangan penulis perlu dimiliki oleh para peminat kerjaya ini. Ini kerana menulis adalah sebahagian daripada tugas PTD. Contohnya untuk menulis laporan, kertas pertimbangan, minit mesyuarat, memo, surat dan ucapan. Untuk menulis dengan baik pula, memerlukan panduan dan latihan. Selalunya ketua unit/bahagian akan menjadi mentor anda. Tetapi tidak menjadi kesalahan untuk mendapat bimbingan daripada orang yang pakar. Kesalahan dan kesilapan semasa menulis selalunya menjadi titik tolak kepada penulisan yang lebih baik pada masa akan datang. Semangat sentiasa ingin belajar dan terbuka menerima kritikan membina juga menjadi faktor penentu kejayaan dalam kerjaya.

Terdapat banyak faedah melalui kemahiran menulis ini. Salah satu faedah awal ialah membolehkan anda lulus peperiksaan PTD dengan cemerlang. Telah begitu ramai personaliti terkemuka yang mahir menulis menjadikan kemahiran menulisnya sebagai landasan kejayaannya. Akhir bicara, mari kita menulis.

Anda tentu pernah menonton atau tahu siri televisyen “The Apperentice”. Siri tersebut terkenal dengan ungkapan kata, “You’re fired!” Donald Trump (gambar). Dalam siri tersebut, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberikan tugasan mingguan. Setiap kumpulan mempunyai pengurus projek dan ahli-ahli tersendiri. Biasalah dalam kumpulan pasti ada masalah tersendiri. Namun yang diperhatikan, jika semangat kerja berpasukan wujud dalam kumpulan, matlamat kumpulan mudah dicapai. Begitu juga dalam kerja seharian sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik. Kebiasaannya PTD akan bertindak seperti pengurus projek dan kakitangan bahagian/seksyen/organisasi akan menjadi ahli kumpulannya. Matlamatnya mungkin menjayakan suatu fungsi bahagian/seksyen/organisasi tersebut.

Cabaran pasti ada. Antaranya ialah dari segi peralatan, manusia, kaedah, persekitaran dan sebagainya. Perkara-perkara ini harus diatasi bersama. Jika tidak, matlamat tidak akan tercapai. Adakalanya satu cabaran yang tidak diatasi, seluruh projek/tugasan akan gagal walaupun telah berbulan-bulan membuat persediaan.

Selain itu sebagai pengurus projek, ketenangan perlu ada. Ini kerana ketenangan membuahkan kebijaksanaan. Menurut Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj, ketenangan ada dalam keadaan arus fikiran jenis alpha. Salah satu petua beliau untuk mendapatkan arus ini ialah dengan banyak minum air masak/mineral/kosong.

Jadi bagi anda yang berminat dengan kerjaya ini, sekarang anda sudah tahu apa yang anda akan hadapi kelak. Semoga berjaya.

Selamat pagi dan salam Syawal buat anda,

Ketika ini penulis sedang sibuk menyiapkan buku tugasan KMK. KMK adalah singkatan perkataan bagi Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja. KMK membolehkan para kakitangan mencari jalan penyelesaian bagi isu-isu mikro berkaitan tugasan harian. Lebih tepat lagi ialah bagaimana mempercepatkan tugasan atau mengurangkan kos tugasan serta menambah nilai kerja yang dilaksanakan. Kebiasaannya KMK ini dianggotai oleh sekumpulan kakitangan bahagian dalam sesebuah organisasi dan mengambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan untuk disiapkan. Ini kerana ia perlu melalui proses seperti perancangan, pelaksanaan, penyemakan dan penilaian sebelum dapat dibentangkan pada hari pertandingan. Justeru itu kebiasaannya hari pertandingan diadakan pada penghujung tahun. Contohnya seperti bulan Oktober. Selepas itu pertandingan peringkat antara jabatan dalam negeri akan diadakan. Seterusnya jika berjaya, akan dipertandingkan di peringkat kebangsaan pula. Untuk itu bagi anda yang ingin berkhidmat dalam perkhidmatan awam, KMK boleh dikatakan perlu anda ketahui untuk meningkatkan kualiti kerja.

Semalam (4 Ogos 2008) telah berlangsung Persidangan Perkhidmatan Awam di Institut Tadbiran Awam Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Ia telah dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Antara intipati ucapannya terhadap perkhidmatan awam adalah berikut:

1. Kakitangan awam perlu menilai semula peranan mereka dari segi pendekatan menghadapi cabaran negara.

2. Perkhidmatan awam Malaysia berjaya meletakkan nama negara di pentas dunia dalam pengurusan negara.

3. Perkhidmatan awam perlu sentiasa selangkah di hadapan untuk mengelakkan dipintas dalam persaingan.

4. Banyak lagi langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi meningkatkan imej perkhidmatan awam.

5. Nasihat dan pelaksanaan dasar serta keputusan yang dibuat oleh perkhidmatan awam mempunyai kesan mendalam kepada rakyat.

6. Kakitangan awam perlu mengamalkan 3 nilai untuk terus mendapat kepercayaan rakyat iaitu budaya mengejar kecemerlangan, berpengetahuan dan melengkapkan minda menempuh abad ke-21.

7. Pengambilan kakitangan awam, kenaikan pangkat serta penugasan kakitangan perlu fleksibel bagi menarik lebih ramai cerdik pandai menyertai sektor berkenaan. Contoh perkhidmatan termasuklah Pegawai Tadbir dan Diplomatik.

Untuk membaca artikel ini sepenuhnya, anda boleh klik di sini.

Baru-baru ini dalam surat khabar The Star ada menceritakan kisah diplomat yang bertugas di Kedutaan Malaysia, New York, Amerika Syarikat. Antara anekdot kisahnya adalah berikut:

1. Menyukai buku dan melawat muzium.

2. Menyiapkan tesis sarjananya dalam bahasa Perancis.

3. Menyukai matapelajaran geografi ketika sekolah.

4. Berkelulusan ijazah akaun dari universiti luar negeri.

5. Telah berkhidmat selama 14 tahun di Kementerian Luar Negeri.

6. Menceritakan pengalaman kerjanya di Hanoi, Vietnam dan Paris, Perancis.

7. Menceritakan antara bentuk tugasannya seperti menjaga kebajikan pelajar Malaysia, menjaga kepentingan negara, pengeluaran sijil lahir, pasport dan visa.

Jadi bagi anda yang ingin membaca artikel penuhnya, sila klik di sini.

Salam hormat,

Antara anggapan yang kurang tepat tentang PTD ialah tempat bertugas. Sesetengah pihak beranggapan tempat PTD bertugas hanya di Putrajaya dan Kuala Lumpur. Sebenarnya tempat bertugas PTD adalah di merata ceruk Malaysia dan dunia. Anda boleh lihat PTD di pejabat daerah, hospital, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, jabatan-jabatan persekutuan, kementerian-kementerian, kedutaan-kedutaan dan sebagainya. Namun anda mungkin sukar mengenali mereka melalui nama jawatan. Ini kerana gelaran jawatan mereka di setiap tempat itu tidak semestinya bergelar Pegawai Tadbir dan Diplomatik. Mereka mungkin bergelar Penolong Pegawai Daerah, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pegawai Daerah, Penolong Setiausaha, Penolong Pengarah, Ketua Penolong Pengarah, Setiausaha Bahagian, Setiausaha Pertama, Setiausaha Kedua, Timbalan Pengarah, Ketua Pengarah, Pengarah atau Ketua Setiausaha. Justeru itu mungkin agak sukar untuk anda mengenali mereka. Harap-harap selepas ini anda mungkin boleh mengetahui bidang tugas PTD dengan lebih lanjut apabila bertemu dengan mereka. Sekian, jumpa lagi.

Ramai bertanya apa tugas PTD. Tugas PTD sebenarnya pelbagai. Secara mudahnya tugas PTD bergantung kepada di mana beliau ditempatkan. Jika di unit kewangan sesebuah jabatan atau kementerian, maka beliau akan mengendalikan urusan kewangan jabatan tersebut. Contohnya pembayaran gaji, pembelian aset jabatan, pembayaran projek dan sebagainya. Begitu juga jika ditempatkan di unit perkhidmatan. Beliau akan mengendalikan urusan pengesahan perkhidmatan, pertukaran lantikan, pemberian taraf berpencen dan sebagainya. Lazimnya akan ada pembantu-pembantu tadbir yang akan membantu. Selepas itu PTD akan membuat semakan dan persetujuan. Bagi PTD yang bertugas di unit antarabangsa atau di Kementerian Luar Negeri, maka mereka akan banyak berurusan dengan pelbagai negara dalam hal-hal seperti program menteri, konvensyen, seminar antarabangsa, lawatan dan macam-macam lagi. Pendek kata, rencam. Sungguhpun begitu, dengan semua perkara ini, maka banyaklah pengalaman dan pengetahuan yang mereka perolehi seperti pengurusan manusia, pengurusan kewangan, pengurusan masa dan daya kepimpinan secara praktikal.

intan.jpg

Kursus pertama yang akan dihadiri oleh PTD yang baru dilantik ialah PTD Unggul. Ia akan berlangsung lebih kurang selama dua minggu di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Di dalam kursus ini akan ada banyak aktiviti yang akan menyediakan para PTD baru akan budaya dan harapan yang disandarkan kepada mereka. Antara aktiviti ialah ceramah kerjaya, aktiviti berkumpulan dan senaman. Namun yang paling menarik sekali ialah di penghujung kursus, para PTD baru ini akan mengetahui penempatan kerjaya mereka yang pertama. Surat penempatan diserahkan sambil para PTD baru beratur. Seolah-olah penyerahan skrol ijazah universiti. Ada yang gembira dan ada yang menangis selepas itu. Apapun tidak kira anda ditempatkan di mana, di situlah perjalanan kerjaya anda sebagai PTD bermula. Selamat bertugas!

Laman Berikutnya »